IPB seiring memperkasa ummah menerusi Pelan Perancangan Strategik 5 Tahun MAIWP
November 10, 2008 – 1:31 pmYB. Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
6 Nov, Jalan Putra – Sebagai salah sebuah agensi di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persektuan (MAIWP), Institut Profesional Baitulmal (IPB) tetap optimis didalam usaha untuk memperkasa ummah melalui lapangan pendidikan. Bagi memperkasa objektif tersebut, IPB seiring dengan misi dan visi MAIWP bagi memastikan kehidupan ummah terus terbela. Setiap agensi-agensi dibawah MAIWP dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan perancangan demi mengangkat martabat sosio-ekonomi umat islam di Wilayah Persektuan ini khasnya.
IPB sebagai salah sebuah institutsi pendidikan dibawah MAIWP selain daripada Institut Kemahiran Baitulmal dan Kolej Kejururawatan, pastinya pembangunan modal insan menjadi agenda utama. Bagi memastikan objektif tersebut tercapai dan dapat direalisasikan, MAIWP mengorak langkah dengan mengajurkan Seminar Pelan Perancangan Strategik 5 tahun MAIWP 2009-2013. Pelan perancangan jangkamasa panjang itu bertujuan untuk memperkasakan lagi fungsi dan halatuju MAIWP dengan mengutamakan penambahbaikkan mutu perkhidmatannya.
Sebahagian peserta seminar yang turut serta
Seminar yang diadakan di Hotel Legend, Jalan Putra, Kuala Lumpur telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Dalam ucapannya beliau berbangga dengan langkah proaktif MAIWP menganjurkan seminar ini dengan harapan ia dapat direalisasikan agar martabat ummah dapat diangkat ke persada yang lebih gemilang. “Dengan penggabungan pemikiran pakar dari pelbagai bidang profesional serta dari kalangan fuqha dan ulama’ dilihat sebagai usaha murni yang perlu diteruskan agar idea-idea bernas itu dapat diterjemahkan melalui seminar ini. Jesteru itu, perancangan dan strategi dapat dilaksanakan mengikut acuan sendiri berlandaskan hukum syarak. Ia amat wajar dan besar ertinya dikala umat islam sedang berhadapan dengan cabaran global termasuk kelembapan ekonomi barat yang memerlukan perubahan menerusi sistem ekonomi islam.”
“Dalam pada masa yang sama pembangunan sosial juga tidak dilupa. Bagi memelihara kesejahteraan ummah di Wilayah Persekutuan khasnya, pembelajaran secara formal dan tidak formal perlu diperkasakan dengan meningkatkan tahap pendidikan termasuk pendidikan agama. Bagi melahirkan golongan berpendidikan dan profesional ulul albab, pelan pendidikan dwi sistem yang bersesuaian bagi pelbagai peringkat pembelajaran perlu dirangka agar dapat menjana modal insan berkualiti pada masa hadapan dengan mengambilkira cabaran sosial semasa.”
Beliau turut mengharapkan peranan yang dimainkan oleh MAIWP ini bakal melahirkan teknokrat Islam yang bukan sahaja mahir dalam bidang profesional bahkan mempunyai nilai sahsiah yang tinggi dan sentiasa bertakwa kepada Allah s.w.t
Seminar yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 6hb-8hb November, 2008 ini memfokuskan 6 perkara tunjang iaitu memperkasakan kutipan dan agihan zakat khususnya di Wilayah Persekutuan; memperkasakan pelaburan umat islam; pembangunan hartanah umat islam; pembangunan tanah wakaf; isu-isu sosial; pembasmian kemiskinan dan peningkatan sosio-ekonomi ummah. Dengan mengetengahkan individu-individu yang pakar di dalam bidang masing-masing, antaranya YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi b. Hj. Abdul Majid, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan YBhg. Tan Sri Muhammad Ali b. Hj Hashim, Ketua Eksekutif Johor Corporation.









